Monday, December 7, 2009

SEJARAH SUKAN PETANQUE (PETONG) DI DUNIA

SEJARAH AWAL PETANQUE

PETANQUE adalah sejenis sukan sukan yang telah berkembang berabad-abad lamanya dan dimainkan berbagai cara dan gaya. Sejarah yang tepat mengenainya tidak tercatat tetapi terdapat bukti-bukti bahawa sukan ini, pada awalnya dimainkan semasa kerajaan Yunani lebih 2,000 tahun yang lampau. Ianya bermula dengan pemain-pemain mengutip ketul-ketul batu bulat dari gunung ganang, pesisir pantai dan cara ianya dimainkan ialah sesiapa yang dapat melontar dengan tepat dan paling jauh dialah yang menang. Seterusnya sukan ini berkembang ke benua Eropah.

PERKEMBANGAN PETANQUE ABAD KE 20

Di akhir abad ke 19, Perancis menjadi Negara pertama yang mengeluarkan syarat-syarat khusus untuk permainan Jeu de Provancal. Pemain-pemain perlu berlari sebanyak tiga langkah dan melontar bola dalam jarak 15 hingga 21 meter. Dengan syarat baru ini Jeu de Provancal semakin popular dan dipertandingan di merata-rata tempat di Perancis. Keadaan ini berlarutan sehingga awal abad ke 20 bila mana dalam tahun 1910 permainan Jeu de Provancal telah diubahsuai di sebuah tempat bernama La Ciotat berhampiran dengan bandar Marseilles di selatan Perancis. Permainan dan peraturannya adalah seperti yang terdapat pada hari ini. Sekumpulan kecil pangasas dan peminat sukan Jeu de Provancal telah berusaha selama lebih kurang tiga puluh tahun untuk mengembangkan sukan ini di Perancis. Mereka menghubungi orang-orang berpengaruh dibidang sukan, ahli-ahli politik, menteri-menteri dan pegawai-pegawai kerajaan dari semua peringkat dan akhirnya pada tahun 1983 Pertubuhan Petanque dan Jeu de Provancal telah ditubuhkan. Boule yang digunakan untuk permainan ini semakin canggih kerana terdapat ahli-ahli yang telah mengubahsuainya dengan mengadakan boule besi campuran dan bahagian dalamnya berongga.

Kini sukan petanque semakin digemari di Eropah, Amerika dan Asia. Populariti sukan ini amat ketara di Perancis, Belgium, Switzerland, Jerman Barat, England, Holland, Sepanyol, Sweden, Kanada, Tunisia, Maghribi, Algeria, Madagaskar dan kepulauan Pasifik. Di benua Asia, Negara Thailand telah mendahului lain-lain negara dengan menjadi ahli kepada Persekutuan Petanque dan Jeu de Provancal Antarabangsa ( FIPJP ) dan didaftarkan sebagai ahli yang ke 17.

Minat terhadap sukan petanque di Negara Asia selain dari Negara Thailand boleh disaksikan juga negara-negara seperti Laos, Combodia, Vietnam, Jepun, China, Singapura dan Malaysia. Pada ketika ini FIPJP mempunyai keahlian melebihi 56 negara.

PETANQUE DI MALAYSIA

Sukan Petanque telah diperkenalkan di negara ini dalam tahun 1987 melalui Kementerian Belia dan Sukan untuk dijadikan sebagai satu acara sukan bagi orang-orang Kurang Upaya (OKU). Di pertengahan tahun1989, YM Professor Di Raja Ungku Abdul Aziz selaku yang Dipertua ANGKASA telah memperkenalkan sukan ini kepada Koperasi-Koperasi di Malaysia. Selepas beberapa bulan diperkenalkan, sukan Petanque telah dirasmi sebagai salah satu acara sukan untuk negara oleh Yang Berhormat Datuk Mohd Najib Tun Razak pada 22 Mac 1990 bertempat di Padang Jalan Timur, Petaling Jaya.

Semenjak dibawa masuk ke Negara ini pihak ANGKASA secara berterusan telah memperkenalkan dan mempromosikan sukan petanque melalui demonstrasi, kursus dan pertandingan. Pertandingan-pertandingan telah dianjurkan mulai tahun 1990 antara koperasi-koperasi dewasa dan koperasi-koperasi sekolah diperingkat negeri dan kebangsaan sempena sambutan Hari Koperasi Antarabangsa.

Mulai tahun 1992, Sekolah Rantau PETRONAS, kerteh Terengganu dibawah pimpinan Pengetua Tuan Haji Jamaludin Bin Ali telah mengambil initiative untuk mempopularkan sukan ini dikalangan pelajar-pelajar dan staffnya. Usaha juga telah dilakukan untuk mengembangkan sukan ini kepada anak-anak syarikat PETRONAS yang terdapat di Pantai Timur.

1 comment:

Selamat Datang Ke Blog Persatuan Petanque Bahagian Sarikei ( PPBS )

Sarikei Petanque Association ( SPA )